Hanya Yang Istimewa Buat Yang Teristimewa

" Seperti orang lain, segalanya bermula dari minat dan hobi. Suka melihat gubahan-gubahan dan jambangan-jambangan bunga yang cantik terutamanya di kedai-kedai bunga dan buku-buku. Tak kiralah bunga tiruan atau bunga-bunga segar. Saya boleh menghabiskan berjam-jam merenung bunga-bunga sambil mengkagumi kebesaran Allah Maha Pencipta. Pada saya itu terapi yang baik untuk kita bermuhasabah diri. Jiwa akan lebih tenang dan minda menjadi lebih sihat. Tak percaya cubalah!!.."

kak Nin - Gubahan Hantaran " Hanya Yang Istimewa Buat Yang Teristimewa "

Selasa, 28 Jun 2011

Gubahan Hantaran ' HITAM SILVER '

Untuk gubahan hantaran ni kaknin cuba menggabungkan warna yang agak kontra. Semuanya atas permintaan encik shah sendiri yang mahu gubahan hantarannya kelihatan warna –warni tetapi mahu dipadankan dengan bunga dulang bertemakan hitam silver dari salah satu koleksi bunga dulang dari sentuhan nin’s (kod no: BDHS-5LC). Setelah digubah maka terhasillah gubahan –gubahan kat bawah tu. Semuanya 7 dulang.



Antara barang yang digubah:
1) Sirih junjung
2) Bekas cincin
3) Kain pasang
4) Coklat
5) Buah
6) Bekas kuih
7) Bunga dulang(penghias kotak kek)


" Sirih Junjung Penyeri Adat "


" Bekas Cincin Tanda Pertunangan "


" Kebaya Biru pasti manis di Hari Raya "


" Mahkota Coklat Shah ...emm yummy! "


" Warna-warni Buah Sebakul..harap cik Shah puas hati ye "


" Bekas Berbunga Khas untuk diisi kueh raya kata nye "

Gubahan Hantaran 'EMAS MERAH'

Lama tak upload gambar-gambar gubahan hantaran dalam blog. Tak sempat nak susun gambar. Sibuk dengan bunga telur. Gubahan ni dari pihak perempuan sebagai balasan hantaran pertunangan untuk pihak lelaki. Semuanye 7 dulang. Untuk menyediakan gubahan hantaran ni cik azi telah memilih bunga dulang ARABICA GOLD (kod no:BDAG-11) dari salah satu koleksi bunga dulang SENTUHAN NIN’S. Inilah hasilnya setelah digubah.



Antara barang yang digubah:

1) Sirih junjung
2) Sepasang kasut
3) Baju kemeja dan Seluar
4) Tuala mandi
5) Sejadah
6) Coklat
7) Sebekas tempat meletak buah


" sirih dalam taman " alam


" sepasang kasut berhias .. berkilat tuh...."



" sangkar emas berbaju di dalam
sepersalinan baju kemeja dan seluar "

" jemput minum jangan malu-malu "

" sejadah..sejukkan hati "

" sejambak bunga coklat...emm!! sedapnya ..boleh makan punye "


" Sebagai buah tangan ...  maaf bekasnye kosong. Kak nin hanye mengubah bekasnya sahaja. Isinye ..? tanye cik azi.."


Isnin, 14 Mac 2011

Artikel Kak Nin - CARA MENGGUBAH SIRIH SEBAKUL

Sirih sebakul...kongsi untuk semua.

Istimewa kak nin sediakan panduan menggubah sirih yang paling simple namun tetap cun. Khas buat pelawat-pelawat blog kak nin yang mahu mencuba membuat sendiri gubahan sirih untuk dihadiahkan buat si dia yang istimewa.



Bahan-bahan yang diperlukan.

Oleh kerana kak nin namakan dia SIRIH SEBAKUL so.. mestilah kena pada sirih dan bakul. Yang lain-lain tu untuk aksesori tambahan span basah , lidi buluh , dawai , pelilit hijau dan bunga-bunga ikut citarasa warna tema yang anda pilih. Jangan lupa juga pelengkap ramuan sirih kita iaitu kapur, gambir dan hirisan pinang.






1)  Mula-mula sediakan dawai yang cukup panjang untuk melingkari span basah. ( Sebelum tu harus diingat span basah tu perlu direndam dulu dalam air. Semalaman pun takpe biar span tu betul-betul serap air). Pastu lapiskan 2 atau 3 helai daun sirih dan cucukkan pada dawai tu sehingga penuh melingkari dawai . Agak-agak sendiri lah ye..



2)  Letakkan je sirih-sirih tu melingkari span basah yang telah kita muatkan dalam bakul. Ikat kemas-kemas  hujung dawai tu pada tangkai bakul.



3)  Kemaskan susunan daun-daun sirih tu agar nampak kemas sekeliling bakul.



4)  Pilih sehelai daun sirih yang cukup lebar dan kelihatan segar  buat sedikit gulungan pada pangkal daun dan lilitkan pada lidi buluh.








 
5)  Buatlah dalam 15 ke 20 batang. Kalau daun sirih tak banyak dalam 10 pun ok. Cuma kurang meriah lah sikit.
6) Cucukkan bunga asas mengikut pilihan anda. Kak nin gunakan bunga kekwa kerana ia lebih tahan lama.

7)  Kak nin gunakan 2 warna yang kontra bagi menyerikan gubahan sirih ni.

8)  Untuk melengkapkan gubahan sirih kita ni, cucuk batang-batang daun sirih yang dah kita buat tadi pada celah ruang-ruang kosong yang ada. Biar nampak rimbun dan meriah.

Dah siap pun gubahan kita... simple je kan!  Amacam ok tak! Selamat mencuba kalau tak sedap jangan marah.. sebab dalam gubahan sirih tak gunakan pak Ajinamoto.
ok bye , salam buat semua!! anyonghaseyo!





Selasa, 18 Januari 2011

Artikel Kak Nin - BERAPA dan APA NILAINYA HANTARAN DALAM MASYARAKAT MELAYU

NAK TAHU RAHSIA !!
Apa Pentingnya SI BELAH ROTAN & SETEPAK SIRIH



Kenapa perlu ada sirih?. Tak payah ada sirih tak boleh ke? ....Persoalan itu sering ditimbulkan oleh generasi muda sekarang tentang adat yang tetap mahu dikekalkan oleh tok nenek kita. Sebenarnya tak ada salahnya kalau tak ada sirih dalam acara merisik atau meminang sekalipun. Dan tak ada juga dalam undang-undang mahupun agama. Akan tetapi sirih mempunyai nilai simboliknya yang tersendiri yang menjadikan ia amat istimewa dalam adat melayu kita. 

Sejak zaman kegemilangan kesultanan Melayu sirih telah menjadi salah satu alat kebesaran dan syarat utama dalam upacara perkahwinan di raja utamanya. Malah sirih yang digubah dalam pelbagai bentuk tertentu telah menjadi persembahan ( hadiah ) istimewa para saudagar dan pembesar negeri kepada raja. ( tu cerita dululah...sekadar info untuk tatapan generasi muda ).

Dahulu sirih adalah merupakan santapan ( makanan ) yang istimewa dikalangan orang Melayu & India . Sirih dimakan sambil merehatkan diri setelah penat bekerja atau ketika menerima kunjungan tetamu. Sambil bersembang daun sirih akan dikapur dan di gobek bersama ramuan pelengkapnya iaitu gambir dan pinang. Sirih juga sering dijadikan bahan perantara sebagai pembuka bicara terutama ketika meminang. 

Sebagai panduan kepada generasi muda yang mahu menghalusi adat budaya perkahwinan Melayu sirih mempunyai 2 maksud yang tersirat. 

1) “ Sirih Tanya ” – Sirih Tanya adalah untuk tujuan merisik. Ia selalunya dibawa bersama ketika wakil keluarga Teruna datang merisik si Dara. Lazimnya dalam adat Merisik , sebentuk cincin belah rotan akan diselitkan bersama didalam tepak sirih . Bila 2 benda ini dibawa bersama secara automatik orang akan tahu tujuan tetamu yang datang adalah untuk Merisik. Tak payah cakap tuan rumah dah tahu hajat kita sebab itulah yang diamalkan sejak berzaman lamanya oleh nenek moyang kita. Kalau tak percaya cuba bawa 2 benda ni kerumanh jiran kita yang bukan berbangsa Melayu....rasanya meke paham ker!! Jadi itulah simboliknya sirih dalam adat budaya kita orang Melayu.

2) “ Sirih Junjung “ – Sirih Junjung selalunya dibawa semasa majlis hantar belanja. Sirih junjung adalah gubahan daun sirih yang digubah dalam pelbagai bentuk dan gaya yang sangat unik dan istimewa. Dahulu untuk upacara perkahwinan gubahan daun sirih ini mestilah dalam bilangan 100 helai dan sirih digubah secara menegak atau menjulang tinggi. Namun dimasa ini dek dah tak ada orang makan sirih lagi dan daun sirih pun dah agak pupus, gubahan sirih ini sekadar memenuhi adat sahaja. Kini sirih telah digubah dalam bentuk gubahan bunga yang menarik dan cantik sekali ( tak kisahlah tu ...kata orang buat syarat jer!! ). Sirih junjung ini dalam adat Melayu digelar sebagai kepala adat. Ini kerana sirih ini dibawa sekali bagi mengiringi barang-barang hantaran yang lain. Inilah keistimewaannya sirih dalam adat perkahwinan Melayu dan membezakannya dengan adat perkahwinan bangsa lain.

Sabtu, 1 Januari 2011

Artikel Kak Nin - TIPS-TIPS BAGAIMANA ANDA BOLEH BERJIMAT DALAM MENYEDIAKAN GUBAHAN HANTARAN

Seronoknya....dia nak bertunang. Tahniah!!....kak nin ucapkan, pada mereka-mereka yang akan bergelar tunangan orang dan yang akan bergelar raja sehari. Kak Nin doakan semoga berbahagia dan berkekalan sehingga akhir hayat. Tips-tips yang kak Nin nak berikan ini sebenarnya adalah kesinambungan dari artikel kak Nin yang lepas , iaitu BIAR SEDERHANA NAMUN TETAP ISTIMEWA. Kalau belum baca , baca-bacalah dulu......yek! rugi tak baca.

“ Tak kisahlah apa pun untuk bertunang jer...buat simple-simple dah ler. Nanti untuk hantaran kahwin barulah buat cantik-cantik”.

Rasa-rasa ada tak anda berpendapat begitu?

Sebenarnya pendapat tu selalu kak Nin dengar. Kebanyakkan ‘client’ kak Nin cakap macam tu. Sebab apa yer....? Agaknya lah.....

Mungkin maksudnya untuk majlis tunang ni buat ala kadar jer lah gubahannya, tak payah cantik-cantik sangat @ murah-murah jer. Dan untuk masa hantaran kahwin nanti baru buat yang giler-giler cantik@mahal-mahal pun tak pe....betul ke macam tu.....komen sikit?

Kak Nin selalu terfikir macamana nak buat yang simple-simple untuk hantaran tunang dan yang cantik-cantik untuk hantaran kahwin. Pada kak Nin semua gubahan yang kak Nin buat sudah pasti semuanya cantik dan istimewa....cehhh! perasannn!

Sebenarnya pada pendapat kak Nin apa-apa perkara pun yang kita lakukan biarlah didahului dengan keikhlasan dan penuh kasih sayang...cam spongebob punya ayat der! . Walauapapun yang kita beri dengan ikhlas pada bakal pasangan kita pasti di hargai.

Barang hantaran pada kak Nin adalah satu hadiah atau pemberian yang amat istimewa untuk si dia. Sudah pasti bakal pasangan kita tu amat istimewa orangnya kan....jadi sewajarnyalah kita memberikan hanya yang istimewa untuk orang yang amat istimewa dalam hidup kita, setuju tak...? Oleh itu ...berilah apa saja yang anda rasa istimewa untuk orang yang anda sayangi. Tapi harus diingat jangan sampai membazir dan memberi sesuatu diluar kemampuan anda. Tak semestinya yang mahal itu istimewa yang penting IKHLAS dan jangan sesekali menunjuk-nunjuk bak kata pepatah “ Biar papa asal bergaya “.

Membebel pulak kak Nin ni, kata nak bagi tips, tapi mana tips nyer...?

Oklah ni tips-tips nye....


Tips 1 : Tentukan Berapa Kuantiti Hantaran.

Bagi mereka yang mementingkan bajet tips ini penting. Ingat kualiti adalah lebih penting dari kuantiti. Maksud kak Nin tak perlulah nak berdulang-dulang hantarannya, biar pun sikit tapi benar-benar ada makna dan berkualiti. Bergantung ikut kemampuan ( kalau sayang lebih bagi lebih..! ) Tinggal saja mana-mana yang tak berapa perlu , contohnya bunga rampai.



- MAJLIS BERTUNANG - Pihak lelaki 5 dulang berbalas 7 dulang dari pihak perempuan ( sikit jer sebab tak confirm lagi jadi ke tak kahwin )

- MAJLIS HANTAR BELANJA – Biasanya lebih sikit. Pihak lelaki bagi 7 dulang atau lebih ikut kemampuan ( banyak-banyak pun tak pa , bukan untuk orang lain... isteri/ suami anda juga...hehehe!


Tips 2 : Rangka Berapa Budget Anda.

Maksud kak Nin bajet ‘buat gubahan’ barang-barang hantaran dan bukan bajet untuk membeli barang untuk dijadikan hantaran. Bajet ini penting bila anda menggunakan khidmat penggubah hantaran ( macam kak Nin contohnya...) lainlah kalau buat sendiri lari bajet pun tak perasaan.

Tips 3 : Tetapkan Keseluruhan Barang Hantaran & Tema Hantaran

Ini penting untuk anda yang rasa-rasa nak buat gubahan hantaran tu. Plan siap-siap untuk satu barang hantaran anda contohnya,

- kain pasang nak buat apa ...,?

- Lepas tu coklat nak buat apa....?

- Buah pulak nak letak kat mana...? dan seterusnya tetapkan tema warna gubahan anda...

Rasa-rasa dah tahu nak buat macamana catat barang-barang yang diperlukan untuk merealisasikan hajat / angan-angan / cita-cita anda itu.Bajet agak-agak berapa meter reben kena beli, berapa biji bakul perlu. Kalau tak buat cam tu kak Nin gerenti bila sampai kat kedai nanti mulalah ....yang itu cantik....ini pun ok gak. Warna merah cun jugak...silver pun orait gak...sudahnya membazir...Nak buat 5 dulang jer yang dibeli macam-macam.


Tips 4 : Sewa Jer...Dulang Hantaran.

Cara ni sebenarnya amat membantu bagi yang mahu berjimat. Biasanya butik-butik pengantin @ penggubah-penggubah hantaran ( cthnya : Sentuhan Nin’s ..promosi hehh! ) ada menyediakan khidmat sewaan dulang dan harganya pun amat berpatutan. Tapi kalau anda pergi ke kedai-kedai bunga yang turut menyediakan khidmat menggubah biasanya mereka tak sewakan dulang. Nak tahu kenapa...? Rugi ler tauke-tauke tu ....tak laku la dulang-dulang dan bakul-bakul yang melambak-lambak kat kedai dia tu...hehehe ( jangan marah hah! )

Secara peribadi kak Nin rasa membazir je dulang-dulang tu , lepas majlis tak guna lah. Kalau nak guna balik pun sebiji 2 jer. Tapi ..kalau anda ramai adik-adik yang jadi pewaris untuk reuse ( guna ) kembali boleh gak..langkah berjimat tuuuu..( takutnya nanti dah tak intrend ( terkini ) lah pulak.


Tips 5 : Elak Guna Benda Yang Sama Untuk Kesemua Hantaran.

Ini selalu terjadi. Dah jadi ‘Intrend’ sekarang kononya cantik dan nampak sedondon jer. Memang cantik tapi sebenarnya ia melibatkan kos yang banyak. Perkara ini selalu terjadi kalau anda hantar gubahan kat kedai-kedai bunga Cina ( oops..sori ) Bukan kak Nin nak promote diri sendiri , tapi...pikirlah sendiri ye!...Lagi banyak benda kita beli lagi untunglah dia . Memanglah dia kata tak ada upah gubah , tapi semua tu sebenarnya dah masuk dalam harga barang-barang yang kita beli. Ok stop! Marah pulak tokei kedai tu nanti.


Tips 6 : Elak Guna Kotak-Kotak Hantaran Kalau Tak Perlu.

“ Guna kotak-kotak hantaran je lah..senang tak yah susah-susah nak gubah “

Alasan ni selalunya di gunakan untuk mereka yang nak ambil langkah mudah dan nak berjimat-jimat. Ye ker boleh jimat...? Emmm!! Ada la sikit kot.... Ye ke tak yah gubah....Cantik ke kotak-kotak tu kalau tak di hias , dengan bunga ke, riben ke , atau render ker...! Maksud kak Nin bukan tak leh guna kotak-kotak ni, contohnya ...kotak plastik transparent @ yang sewaktu dengannya. Boleh guna ! tapi hadkan untuk yang perlu je, contohnya macam kasut bolehlah letak kat dalam tu dan hiaslah kotaknya. Cara ni pun kak Nin rasa paling manis untuk gubahan kasut, lebih sopan dan nampak istimewa.

Untuk panduan,

Pernah ada satu ‘client’ kak Nin dia dah beli siap-siap 7 kotak yang cantik jugak ler ( sekali tengok cam stadium Olimpik China ala-ala ‘ sarang burung ‘ ..agaknye le ) dan berabis beratus RMXXX jugak le kat salah sebuah kedai di Nilai 3 tuh. Alasannya same le cam kat atas tu, senang tak yah gubah sumbat je dalam kotak. Balik rumah dia bubuhlah barang-barang hantaran kedalam kotak yang dia beli tu. Lepas tu barulah.. dia sedar takkan nak bagi camni jer tak yah hias. Tadi dah berabis beratus ringgit beli kotak , lepas tu baru sedar nak kena hias jugak kotak ni baru cantik. Nak buat sendiri tak reti pulak....! Baru tahu , lepas tu jumpa kak Nin. Kena tambah duit lagi nak hiaskan..tak ke membazir tu namanya! ( bukan Kak Nin nak aibkan ‘client’ , harap ianya menjadi ikhtibar kepada anda nanti )


Tips 7 : Variasikan Barang Hantaran

Cuba pelbagaikan penggunaan bekas hantaran . Tak de lah membazir nanti , bekas-bekas tu boleh digunakan lagi nanti untuk kegunaan lain. Contoh :

- Bakul untuk isi buah / kuih-muih

- Kotak kayu dsb untuk kasut

- Bekas Kaca untuk letak cincin ke!

Gunakan kreativiti untuk menggubah barang-barang seperti kain pasang , sejadah , telekung dsbnya. Cara ini banyak membantu dan jimat sebenarnya. Kalau anda faham artikel yang kak Nin tulis sebelum ini , tentu anda faham maksud kak Nin.

p/s – kalau tak tahu nak gubah camner, Sentuhan Nin’s boleh uruskan...


Tips 8 : Himpunkan 2 @ 3 Barang Hantaran Menjadi 1.

Cara ini amat membantu . Ada beberapa barang hantaran yang biasa boleh disatukan sebagai 1 gubahan . Contohnya : kasut & beg tangan , sejadah & telekung , baju pasang & kain tudung. Kan jimat tu..... Banyak barang boleh bagi untuk Si dia yang tersayang dan tak perlu dulang yang banyak. Cara ini amat menguntungkan anda sebenarnya tetapi tidak kepada penggubah-penggubah hantaran macam kak Nin...tak kisah lah tu , yang penting jangan membazir.


Gambar : Kak Nin satukan gubahan sirih , barang kemas & duit hantaran dalam 1 gubahan.


Tips 9 : Meminimumkan Penggunaan Barang-Barang Hiasan Yang Membazir.

Pembaziran sebenarnya banyak berlaku terutamanya dalam trend dalam gubahan masa kini, orang sekarang lebih suka menghias barang hantaran berbanding menggubahnya. Cuba gunakan kreativiti anda untuk menggubah barang hantaran agar menjadi HEBAT dan ISTIMEWA. Minimumkan penggunaan render-render atau manic-manik dalam gubahan anda. Sebab barang-barang itu akan terbuang nanti ( duit anda sendiri yang terbuang ) selepas majlis berlangsung. Namun tidak dinafikan penggunaan reben , render & manic-manik dapat menyerikan lagi gubahan anda namun sekali lagi harus diingat minimumkan penggunaannya.

Rasanya setakat ni jer lah dulu tips-tips yang dapat kak Nin berikan. Semoga sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan terutamanya pada anda yang bercita-cita nak buat gubahan sendiri & mengambil langkah berjimat cermat. Maklumlah nak kahwin banyak nak guna duit tu....kalau tak de idea layarilah blog ‘ Sentuhan Nin’s – Gubahan Hantaran Perkahwinan & Pertunangan “ . semoga anda memperolehi sesuatu di situ. Tapi kalau tak reti jugak nak gubah camne jangan segan-segan hantar jer pada kak Nin. Izinkan Kak Nin membantu anda menyediakan sesuatu yang istimewa untuk si dia yang teristimewa.


p/s – Nantikan E-BOOK Kak Nin “ Panduan & Cara-Cara Membuat Gubahan Hantaran “ ..akan datang, insyaallah.

Disediakan oleh : Kak Nin , Sentuhan Nin’s

“ HANYA YANG ISTIMEWA BUAT YANG TERISTIMEWA “

Ahad, 19 Disember 2010

Artikel Kak Nin - " GUBAHAN HANTARAN BIAR SEDERHANA NAMUN TETAP ISTIMEWA "



Hantaran adalah merupakan satu pemberian yang istimewa dan telah menjadi salah satu adat penting dalam perkahwinan melayu. Dalam penulisan ini saya mahu berkongsi bersama para pembaca tentang betapa istimewa dan uniknya pemberian hantaran dalam adat perkahwinan melayu dari dulu hingga kini. Mungkin apa yang ingin saya kongsikan adalah lebih kepada pendapat saya sendiri. Akan tetapi saya berharap ia boleh dijadikan serba sedikit panduan kepada anda. 
 
Pemberian hantaran telah menjadi kemestian dalam upacara adat bertunang dan adat naik belanja. Bak kata pepatah “ Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas “ . Boleh dikatakan tiada bezanya dari dulu hingga kini. Cuma yang membezakan barangkali dari segi kualiti atau jenis barang yang dijadikan hantaran. Dari segi kuantitinya masih tetap sama dalam bilangan yang ganjil dan hantaran dari pihak perempuan melebihi dari pihak lelaki. Ia bergantung kepada perancangan dan kemampuan kedua-dua pihak. 

Barangkali ada yang mempersoalkan kenapa perlu digubah barang-barang hantaran ini. Tak ke meremehkan!.... Mungkin benar ia meremehkan atau melecehkan tapi itulah istimewanya adat melayu. Secara sedar atau tidak gubahan hantaran ini melambangkan keperibadian budaya melayu sendiri. Ia mencerminkan keindahan dan keunikkan adat melayu yang begitu halus dan santun sekali.



Secara jujurnya saya lebih mengkagumi hantaran orang kampung-kampung dan orang dulu-dulu. Pada saya mereka lebih kreatif dan inovatif sekali. Orang dahulu menilai kecantikkan hantaran itu daripada keunikkan pada setiap gubahan yang dibuat. Berbeza dengan sekarang kreativiti menggubah kurang dipraktikkan lagi tetapi lebih kepada menghias barang hantaran. Memanglah ianya nampak cantik akan tetapi mungkin ramai yang tidak sedar sebenarnya banyak pembaziran berlaku.


Cuba anda bayangkanlah....anda menggunakan 7 atau 9 bekas/bakul/kotak untuk membuat 7 atau 9 hantaran yang mungkin dirasakan supaya hantaran anda kelihatan seragam atau sedondon mengikut tema yang telah anda pilih. Apa anda akan buat dengan ketujuh-tujuh bekas/bakul/kotak itu selepas majlis berlangsung. Memang sebelum majlis kita merasakan ia boleh digunakan kembali. Cuba kita fikirkan ....nak letak apa atau nak buat apa dengan bekas-bekas tu nanti. Saya yakin kalau setakat 2 atau 3 bekas bolehlah digunakan lagi buat hiasan meja ker...buat bakul gubahan bunga ker...atau buat tempat letak barang anda kat dapur ker!. Tapi....kalau dah ada 7 atau 9 benda yang sama depan mata baru anda mula terfikir...errr!! ( nak buat ape ye dengan bende-bende ni! ) Sudahnya jadilah ia sebagai khazanah istimewa anda dalam almari atau setor. Tak ke membazir namanya tu....nak jual balik ada ke orang nak beli?..Ada! di Mudah dot com kot ye! 

Walaubagaimanapun saya ada cadangan! Berilah bekas-bekas tu sebagai souvenir buat pak long! , mak ngah!, mak mertua! atau kawan-kawan...boleh tak!.

Orang sekarang kebanyakkan menghias barang hantaran dan bukannya membuat “gubahan hantaran”. Sebenarnya banyak bezanya antara menggubah dan menghias barang hantaran. 

‘Menggubah hantaran’ bermaksud menghasilkan sesuatu bahan menggunakan kreativiti untuk menjadikan sesuatu rekaan atau bentuk yang unik. Manakala ‘Menghias hantaran’ itu bermaksud menghias sesuatu bahan agar kelihatan cantik dan menarik. 

Namun tidak dinafikan ada beberapa barang hantaran yang memang perlu dihias untuk lebih kelihatan istimewa dan menarik. Yang mana ianya memang tidak boleh digubah contohnya seperti barang kemas , alat solek , kasut atau beg tangan. Takkanlah kita nak gubah cincin jadi benda lain pulak! . Oleh sebab itulah untuk menjadikan cincin itu menjadi lebih istimewa perlulah kita menghias bekas cincin atau bekas hantaran itu menjadi menarik dan nampak cantik.




Perlu diingat juga biasanya orang terlebih-lebih pula menghias tempat cincin ini sampai tenggelam cincin tu dan tak tau duduk dimana. 

Disini saya membuat perbandingan apa beza dan faedahnya menggubah barang hantaran dan menghias barang hantaran. Menggubah barang hantaran adalah lebih jimat sebenarnya dan hasilnya pasti lebih hebat dan istimewa. Cuba anda perhatikan gambar dibawah, mestipun barang yang digunakan itu taklah semahal mana namun ia kelihatan hebat dan istimewakan!.






Cuba lihat gambar dibawah pulak. Tak dinafikan ia nampak cantik tetapi untuk ia menjadi secantik itu banyak benda membazir sebenarnya.







Membuat gubahan hantaran adalah salah satu hasil seni budaya melayu yang seharusnya dikekalkan. Ia mampu menambah nilai sesuatu barang yang biasa menjadi luar biasa. Bagi saya barang yang digubah menghasilkan sesuatu yang lebih unik dan lebih dihargai.

Malah kita boleh menjadikannya sebagai hiasan (sculpture) selama mana kita mahu menyimpannya. Contohnya gambar kat bawah tu. “ Dah jemu pandang bukak jer guna buat tuala mandi....”





Seperti yang saya nyatakan sebelumnya, ada beberapa barang yang sesuai perlu di hias untuk tampil menarik namun kalau boleh elakkan dari berlebih-lebihan menghiasnya dan jangan sampai membazir...

Segala yang saya tuliskan adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya yang barangkali amat terbatas. Secara tidak langsung saya berharap penulisan ini dapat memberi manfaat kepada anda. Jauh sekali saya hendak mengkritik atau membeza-bezakan hasil seni orang lain atau mendabik dada pada kehebatan sendiri ( yang tak hebat manapun...ha!ha! ) tepuk dada tanyalah selera. Apa-apa pun boleh asal saja tak membazir. Justeru itu jika terdapat kesilapan saya pohonkan kemaafan.

Ditulis oleh : Kak Nin : Sentuhan Nin's

Ahad, 21 November 2010

Gubahan Bertema Warna Putih / Merah Jambu / Ungu / Bunga Lily ( White / Pink / Purple )









Antara barangan pengantin yang digubah ialah :

1) Sirih Junjung & Duit Mas Kahwin
2) Sejadah & Telekung
3) Biskut
4) Kain Sutera
5 ) Gula-gula & Coklta
6 ) Buah-buahan
7) Beg Tangan