Hanya Yang Istimewa Buat Yang Teristimewa

" Seperti orang lain, segalanya bermula dari minat dan hobi. Suka melihat gubahan-gubahan dan jambangan-jambangan bunga yang cantik terutamanya di kedai-kedai bunga dan buku-buku. Tak kiralah bunga tiruan atau bunga-bunga segar. Saya boleh menghabiskan berjam-jam merenung bunga-bunga sambil mengkagumi kebesaran Allah Maha Pencipta. Pada saya itu terapi yang baik untuk kita bermuhasabah diri. Jiwa akan lebih tenang dan minda menjadi lebih sihat. Tak percaya cubalah!!.."

kak Nin - Gubahan Hantaran " Hanya Yang Istimewa Buat Yang Teristimewa "

Mengapa Perlu Meminang..?


Mengapa perlu meminang...? Perlu ke...? Sebagai jawapannya memang perlu. Malah ia merupakan salah satu adat utama yang mesti dilakukan dalam adat perkahwinan melayu. Meminang atau peminangan bermaksud menyatakan keinginan atau hasrat berkahwin dengan perempuan yang berkenaan dengan memberitahu hasratnya itu kepadanya atau walinya. Ia dilakukan setelah calon pasangan yang dicari telah menjadi pilihan hati.

Dalam adat melayu sebelum adat peminangan dijalankan akan didahulukan adat merisik. “Merisik” atau pada sesetengah daerah dipanggil “menyuluh”. Bagi tujuan ini pihak lelaki akan pergi ke rumah si gadis untuk “membuang cakap” ( bertanya-tanya ). Pihak lelaki akan bertanya-tanya, meninjau-ninjau dahulu kepada pihak si gadis yang ingin dipinangnya. Tugas ini biasanya dilakukan oleh saudara terdekat pihak lelaki atau ibu dan ayah pihak lelaki sendiri. Kunjungan ini biasanya secara tidak rasmi namun membawa hajat yang amat besar. Bolehlah dikatakan seperti menziarahi sahabat atau jiran. Sambil menikmati juadah , pihak lelaki akan menyatakan hasrat kunjungan itu dan mendapatkan maklumat samada si gadis sudah terlebih dahulu dipinang oleh orang lain atau belum. Biasanya kata putus tidak diambil lagi buat masa ini. Kedua-dua belah pihak berhak menyiasat latar belakang masing-masing. Kalau ada yang tidak kena mana-mana pihak boleh berundur.

Indah sekali adat melayukan..? Namun pegangan agama seharusnya tetap menjadi panduan agar mahligai yang dibina berkekalan dan diredai Allah SWT. Sebenarnya setiap adat yang dilakukan sebelum pernikahan berlangsung mempunyai hikmah dan maksud tersirat yang amat besar sekali. Segalanya dilangsungkan dengan begitu tertib bagi menjaga hubungan silaturrahim dan tidak bertentangan dengan agama.

Dalam proses merisik ini agama Islam telah mengajarkan bahawa di sunatkan melihat perempuan ( gadis ) yang hendak dipinang itu. Sebaik-baiknya pihak lelaki mewakilkan seseorang yang dipercayai seperti ibu saudaranya untuk mendapatkan gambaran yang ada pada gadis yang dipinang itu. Amalan ini telah dilakukan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w, semasa baginda hendak meminang seorang perempuan. Baginda telah mengutuskan Ummi Sulaim kepada perempuan itu. Baginda bersabda kepada Ummi Sulaim :

“ Kamu lihatlah kepada dua tumitnya dan hidu bau rahang mulutnya”.

Tujuan melihat tumit sebenarnya adalah untuk memastikan keadaan saiz tubuh badan dan manakala menghidu udara dari rahang pula adalah untuk menyakinkan keharuman mulutnya.

Dewasa ini adat ini seolah-olah tidak dipraktikkan lagi. Ibubapa telah banyak memberikan kelonggaran kepada anak-anak untuk mencari jodoh masing-masing. Taraf sosial telah berubah , ramai anak gadis telah keluar bekerja dan tidak lagi duduk di rumah seperti dahulu. Oleh itu biasanya pasangan telah terlebih dahulu mengenali satu sama lain. Namun begitu anak-anak gadis mahupun teruna harus menginsafi batasan agama. Segala masalah yang bakal timbul dalam rumah tangga yang bakal dibina adalah tetap sama walau dalam apa zaman pun. Oleh itu warisan budaya lama walau kadangkala di anggap merumitkan perlu juga kita renung-renungkan dan dijadikan panduan.


Datang berhajat mengukir janji,
Menyunting bunga idaman hati,
Mematri kasih mengikat janji,
Si belah rotan menjadi saksi.

Setelah kata putus dicapai oleh kedua-dua belah pihak dan pihak si gadis bersetuju maka barulah adat meminang di jalankan. Dalam adat ini biasanya ibubapa si teruna sendiri yang datang meminang si gadis. Pada kunjungan kali ini lazimnya pihak lelaki akan datang bersama setepak sirih dan sebentuk cincin belah rotan. Disinilah si belah rotan memainkan peranannya... Bila sahaja ‘si belah rotan’ ini di terima dan disarungkan di jari manis si gadis maka ini menandakan secara rasminya si gadis telah di pancang ( diikat ). Maksudnya gadis ini telah dipinang dan tidak boleh lagi menerima sebarang lamaran dari orang lain.

Tujuan meminang dalam agama Islam ialah untuk memberi peluang kepada si teruna melihat dengan lebih jelas bakal pasangan hidupnya. Disepanjang waktu meminang inilah Islam mengalakkan si lelaki melihat dahulu bakal isterinya serta memahami latarbelakangnya. Ia bagi menjamin kebahagian rumahtangga yang bakal dibina kelak. Rasullulah bersabda seperti yang telah diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud :

“ Apabila seseorang dari kamu meminang seorang perempuan , sekiranya dia dapat melihat perempuan itu , hendaklah dia melihatnya sehingga bertambah keinginan kepada perkahwinan “.

“ Merisik “... sudah...” Meminang “...sudah, :- selepas itu barulah majlis pertunangan secara rasmi dijalankan.

Tulisan kak Nin , Sentuhan Nin,s...

Tiada ulasan: