Hanya Yang Istimewa Buat Yang Teristimewa

" Seperti orang lain, segalanya bermula dari minat dan hobi. Suka melihat gubahan-gubahan dan jambangan-jambangan bunga yang cantik terutamanya di kedai-kedai bunga dan buku-buku. Tak kiralah bunga tiruan atau bunga-bunga segar. Saya boleh menghabiskan berjam-jam merenung bunga-bunga sambil mengkagumi kebesaran Allah Maha Pencipta. Pada saya itu terapi yang baik untuk kita bermuhasabah diri. Jiwa akan lebih tenang dan minda menjadi lebih sihat. Tak percaya cubalah!!.."

kak Nin - Gubahan Hantaran " Hanya Yang Istimewa Buat Yang Teristimewa "

Rahsia Pilih Yang Mana Satu..!!

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...saya sebenarnya taklah pandai “menulis” tapi saya ingin sekali berkongsi pengalaman dan serba sedikit ilmu yang saya ada untuk berkongsi dengan sesiapa sahaja yang sudi membaca. Saya berdoa apa yang saya coretkan dapat menjadi pedoman dan panduan terutamanya bagi anak-anak muda dalam memilih pasangan hidup sebagai teman suka dan duka , susah atau senang hinga ke akhir hayat.


PERKAHWINAN merupakan puncak kebahagiaan dalam kehidupan manusia tidak mengira bangsa, agama atau keturunan. Perkahwinan yang berjaya dapat melahirkan masyarakat yang hebat dan aman bahagia. Telah menjadi lumrah manusia akan mencari pasanggan hidup atau teman untuk menjalani penghidupan seharian. Sehebat manapun hamba Allah yang bergelar manusia pasti tidak mampu hidup bersendirian. Oleh itu pemilihan jodoh atau lebih tepat pemilihan bakal pasangan hidup adalah merupakan penentuan atau titik tolak pada bermulanya alam perkahwinan. Sebagai seorang muslim pemilihan mengikut kaedah syarie adalah yang terbaik bagi membina kebahagiaan berumahtangga.

Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:

“ Di antara kebahagian anak Adam ini ada tiga perkara, isteri yang solehah , tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik”.

“ JANGAN SALAH PILIH ” – Bukanlah bermaksud membeza-bezakan darjat atau keturunan seseorang, tetapi aspek memilih pasangan ini sendiri telah di gariskan oleh agama Islam. Terdapat beberapa tatacara yang dianjurkan oleh Allah dan Rasulnya kepada pasangan-pasangan yang hendak mendirikan rumahtangga.

Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda;

“ Di nikahi seorang perempuan itu kerana empat sebab , kerana hartanya , kecantikkannya , kedudukannya atau keturunannya dan agamanya, maka nikahilah wanita yang beragama, maka suburlah tanganmu ( mendapat berkat )”.


Kalau di ringkaskan dari hadis diatas, pemilihan bakal pasangan berasaskan kepada ciri-ciri berikut:-

1) Kerana harta

2) Kerana keturunan

3) Kerana kecantikkan

4) Kerana agama


Amat bertuahlah sesiapa yang beroleh keempat-empat ciri tersebut. Namun kita sebagai hamba Allah yang lemah, setiap insan memiliki kekurangan dan juga kelebihan. Yakinlah jangan sekali meninggalkan ciri yang keempat. Islam menjamin kebahagian rumahtangga bagi si suami yang memilih isteri yang berpegang teguh kepada agama walaupun wanita (gadis) itu tidak cantik pada rupa parasnya atau tidak mempunyai harta.


Nabi s.a.w telah memperingatkan lagi dalam sabda baginda;

“Janganlah kamu mengahwini perempuan semata-mata kerana kecantikkan parasnya, mungkin kecantikkan itu akan menyebabkan ianya berpaling tadah. Jangan pula mengahwini perempuan kerana hartanya, mungkin harta itu akan menjadikannya melampaui batas. Akan tetapi kahwinilah mereka kerana agamanya, mungkin ianya seorang perempuan hamba yang berkulit hitam, tetapi mempunyai pegangan agama yang kuat adalah lebih afdal”.

Mungkin ada pembaca yang mengatakan macamana pula dengan orang perempuan, tak ada hak ke nak pilih lelaki...?. Sebenarnya panduan memilih pasangan hidup ini sama saja untuk pihak lelaki atau perempuan cumanya telah menjadi adat melayu atau agama Islam sendiri, peranan memilih bakal pasangan biasanya dilakukan oleh lelaki. Kebiasaannya lelaki yang masuk meminang perempuan, akan tetapi tak kisahlah kalau “perigi sendiri yang pergi mencari timba”. Perempuan juga mempunyai hak yang sama untuk memilih jodohnya sebagai pasangan hidup. Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah dipinang oleh Syaiditina Khadijah untuk dijadikan suami. Sudah pasti Syaiditina Khadijah memilih nabi kerana agamanya. Nabi Muhammad s.a.w adalah Ulul Azmi yang sangat hebat.

Perkahwinan merupakan suatu perjalanan hidup yang amat indah dan panjang. Ia merupakan suatu penentuan hidup dan keturunan, sewajarnyalah calon pasangan perlu dinilai dari segi akhlak , kesihatan tubuh badan dan yang paling penting sekali ialah keimanan. Di dalam Islam di gariskan juga beberapa ciri-ciri lain dalam pemilihan bakal pasangan:

1) Anak dara jika yang hendak berkahwin itu teruna

2) Keturunan ramai anak supaya perkahwinan yang akan berlangsung akan melahirkan zuriat yang ramai.

3) Perempuan asing iaitu perempuan yang tidak ada ikatan kekeluargaan dengan lelaki.


“ Tepuk dada tanyalah iman “... Selidiki dahululah bakal pasangan anda. Pilihlah pasangan yang sekufu dengan anda. Rasullulah s.a.w pernah berpesan kepada Syaidina Ali tentang tiga (3) perkara yang perlu di segerakan iaitu :

“ sembahyang bila tiba waktunya, segerakan kebumikan mayat bila mayat tiba dan ada peminangan dan ada kufu maka hendaklah di segerakan ”.

Memandangkan zaman sekarang ibubapa sudah jarang sekali menentukan jodoh pasangan anak gadis atau anak terunanya, maka terpulanglah pada anda. Bak kata pepatah “ hanya jauhari yang mengenal manikam “. Seperkara yang mahu saya beri panduan lakukanlah solat (sembahyang) sunat Istikharah. Sembahyang sunat ini sangat digalakkan oleh Allah dan bertujuan untuk memohon taufik dan hidayah dari Allah untuk membantu anda memastikan pilihan yang diambil itu adalah sesuai dan diberkati oleh Allah.

Rasullulah juga pernah bersabda;

“Apabila kamu bercita-cita untuk mengerjakan sesuatu maka hendaklah kamu meminta pilih daripada Allah sebanyak tujuh kali. Selepas itu lihatlah apa yang digerakkan oleh Allah pada hati yang mendahulukan kerana kebaikan ada pahala yang dihulurkan”.

Semoga saya dapat memberikan sesuatu buat anda. Segala yang saya tulis adalah berdasarkan ilmu yang amat terbatas. Tegurlah saya seandainya ada kekurangan dan kesilapan.

Allah Yang Maha Mengetahui ..Allahuaklam

Tulisan Kak Nin , Sentuhan Nin's ....