Laman Siar Mata & Siar Ilmu

Manisnya Bertunang....hah! nak tau baca ye!

“ Sirih dijunjung datang berkawan,
Menyusul adat dengan rombongan,
Kata disusun berbalas senyuman,
Dulang berisi membalas pinangan”

Merisik sudah...Meminang sudah...gadis yang dicari terikat sudah...Apa tunggu lagi ? ...hebahkanlah!!
Setelah semuanya dipersetujui bersama, kata sepakat pun tela dicapai, tibalah masanya untuk menghantar rombongan. Majlis bertunang atau ‘adat naik tanda’ adalah bertujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat tentang pertunangan antara si teruna dan si dara. Majlis ini amat penting terutamanya bagi pihak si gadis. Ini menandakan bahawa anak gadis tersebut sudah pun menjadi ‘tunangan orang’ . Islam mengharamkan peminangan keatas tunangan orang lain selagi mana pertunangan tersebut tidak putus. Pertunangan adalah perjanjian besar yang dibuat oleh si teruna untuk berkahwin dengan si dara.

Dalam adat melayu majlis bertunang biasanya dilakukan dengan begitu meriah sekali. Ini kerana ia melibatkan hubungan silaturrahim antara dua belah pihak. Ia melibatkan persepakatan antara keluarga pihak lelaki dan keluarga pihak perempuan. Beberapa persetujuan perlu ditetapkan sebelum majlis rasmi pertunangan di langsungkan. Diantara perkara yang diambilkira ialah

1) Hari dan tarikh majlis pertunangan
2) Jumlah rombongan dari pihak lelaki
3) Bilangan hantaran yang akan dibawa

Namun pihak lelaki tidaklah sesibuk sepertimana keluarga pihak perempuan. Ini kerana majlis biasanya berlangsung di rumah pihak perempuan. Pihak lelaki hanya sibuk menyiapkan barang-barang hantaran yang akan dibawa bersama oleh rombongannya nanti. Manakala pihak perempuan selain menyiapkan barang hantaran sebagai balasan kepada pihak lelaki , biasanya akan juga sibuk memberitahu saudara mara dan jiran tetangga untuk membantu menyediakan juadah bagi meraikan rombongan pihak lelaki.

Dalam adat melayu sendiri anak gadis diibaratkan seperti ‘ harta ’ yang amat berharga. Oleh itu sewajarnyalah ia diberikan beberapa keistimewaan. Telah menjadi adat melayu apabila datang bertandang pasti tidak lupa membawa buah tangan. Dari kerana itulah telah menjadi adat dalam majlis bertunang pihak lelaki akan datang bersama rombongan membawa beberapa barang hantaran untuk dihadiahkan kepada tunangannya. Selain dari sirih junjung dan sebentuk cincin emas permata dibawa sekali , beberapa hadiah lain seperti sepersalinan pakaian ( baju , beg tangan , kasut ) dan buah tangan ( manisan , kuih muih dan buah-buahan).

Dan telah menjadi adat orang melayu juga , bak kata pepatah “ Orang memberi kita merasa , orang berbudi kita berbahasa “. Sebagai balasan kepada pemberian pihak lelaki , pihak si gadis juga pasti akan menyediakan sesuatu. Kan tak manis orang yang datang berhajat bertandang ke rumah pulang dengan tangan kosong. Bagi mengeratkan lagi ikatan yang di bina , pihak si gadis juga menyediakan beberapa hadiah sebagai balasan hantaran. Sepertimana pihak lelaki , barang-barang biasa yang dijadikan hadiah ialah seperti sirih adat , sepersalinan pakaian dan buah tangan. Biasanya bilangan hantaran ini dalam bilangan yang ‘ ganjil ’ dan bilang pemberian pihak perempuan adalah melebihi pihak lelaki.

“ Bunga melur bunga berseri,
Bila dipetik hati nyaman,
Kami mengadap puak bistari,
Untuk memetik kuntum di taman”

“ Ikan gelama ikan duri’
Batang permai sarang tebuan,
Kami menerima kami memberi,
Kuntum kami hak tuan”

Begitulah adat melayu tersusun santun bahasanya. Pantun seloka sering menjadi pembuka bicara. Dalam gurau senda disampaikan hajat besar para rombongan. Beberapa perkara penting akan dibincangkan sebelum menyerahkan barang hantaran dan menyarungkan cincin pertunangan. Ketika inilah kedua-dua pihak berbincang dan menetapkan beberapa syarat seperti tempoh masa bertunang dan jumlah belanja perkahwinan atau belanja hangus.

Disepanjang tempoh pertunangan ini ada ditetapkan beberapa syarat yang harus di patuhi. Antaranya jikalau ditakdirkan berlakunya putus tunang , pihak yang menyebabkan pertunangan itu putus akan dikenakan denda. Jikalau pihak teruna yang membuat helah maka semua wang hantaran belanja dikira hangus dan tidak akan dikembalikan oleh pihak gadis. Kalau sebaliknya berlaku maka pihak gadis harus mengembalikan semua hantaran belanja sebanyak dua kali.

Bila kata sepakat dicapai, barang hantaran yang dibawa diserahkan kepada pihak gadis. Cincin tanda atau cincin tunang akan disarungkan ke jari manis si gadis oleh ibu atau saudara perempuan si teruna. Dengan itu rasmilah si gadis ini menjadi ‘ tunangan orang ’.

Lazimnya tempoh masa bertunang adalah 6 bulan atau 1 tahun. Namun ia bergantung kepada kemampuan dan kesediaan pihak lelaki. Seandainya si lelaki sudah benar-benar bersedia dan berkemampuan majlis pernikahan boleh saja segera dilangsungkan.

Sepanjang tempoh bertunang sementara menanti hari bahagia di satukan ada hikmah yang boleh diperolehi darinya. Ia dapat menyediakan masa yang secukupnya kepada pasangan yang bertunang ini menbina kekuatan dari segi rohani , psikologi , mental dan jasmani. Seharusnya mereka memberi perhatian terhadap segala saranan dan ajaran Islam dalam ilmu membina rumahtangga. Belajar mengenali dan memahami sifat-sifat pasangannya. Mereka hendaklah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas agar beroleh keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia kelak.
Diharuskan bagi pasangan melihat pasangannya berulang kali sekiranya perlu supaya melahirkan rasa puas hati bagi kedua belah pihak, sebagaimana sabda Rasullulah s.a.w kepada Al-Mushairah bin Syu’bah:

“ Lihatlah kepadanya ( perempuan ) , sebab yang demikian itu akan mengekalkan ( kasih sayang ) antara kedua kamu “. – Riwayat Muslim.

Agama Islam membenarkan pasangan yang bertunang bertemu tetapi haruslah terdapat salah seorang ‘mahram’ dari pasangan ada bersama.
Dalam hubungan adat resam , ketentuan adat tidaklah mengikat. Atas dasar kemanusiaan pihak yang terlibat masih diberi hak menentukan sesuatu jikalau kedua-dua pihak sama-sama bersetuju. Dalam peribahasa melayu ada menyebutkan :

Kelebihan Nabi dengan mukjizat,
Kelebihan umat dengan muafakat’
Bulat air kerana pembentung’
Bulat manusia kerana muafakat.

Hasil Tulisan Kak Nin – Sentuhan Nin’s
p.s _ “ kalau nak tengok camner rupa gubahan hantaran tu atau nak tempah ker atau nak cari idea ker….tengok-tengoklah koleksi contoh gubahan dalam “ Sentuhan Nin’s “