Hantaran adalah merupakan satu pemberian yang istimewa dan telah menjadi salah satu adat penting dalam perkahwinan melayu. Dalam penulisan ini saya mahu berkongsi bersama para pembaca tentang betapa istimewa dan uniknya pemberian hantaran dalam adat perkahwinan melayu dari dulu hingga kini. Mungkin apa yang ingin saya kongsikan adalah lebih kepada pendapat saya sendiri. Akan tetapi saya berharap ia boleh dijadikan serba sedikit panduan kepada anda.
Pemberian hantaran telah menjadi kemestian dalam upacara adat bertunang dan adat naik belanja. Bak kata pepatah “ Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas “ . Boleh dikatakan tiada bezanya dari dulu hingga kini. Cuma yang membezakan barangkali dari segi kualiti atau jenis barang yang dijadikan hantaran. Dari segi kuantitinya masih tetap sama dalam bilangan yang ganjil dan hantaran dari pihak perempuan melebihi dari pihak lelaki. Ia bergantung kepada perancangan dan kemampuan kedua-dua pihak.
Barangkali ada yang mempersoalkan kenapa perlu digubah barang-barang hantaran ini. Tak ke meremehkan!.... Mungkin benar ia meremehkan atau melecehkan tapi itulah istimewanya adat melayu. Secara sedar atau tidak gubahan hantaran ini melambangkan keperibadian budaya melayu sendiri. Ia mencerminkan keindahan dan keunikkan adat melayu yang begitu halus dan santun sekali.
Secara jujurnya saya lebih mengkagumi hantaran orang kampung-kampung dan orang dulu-dulu. Pada saya mereka lebih kreatif dan inovatif sekali. Orang dahulu menilai kecantikkan hantaran itu daripada keunikkan pada setiap gubahan yang dibuat. Berbeza dengan sekarang kreativiti menggubah kurang dipraktikkan lagi tetapi lebih kepada menghias barang hantaran. Memanglah ianya nampak cantik akan tetapi mungkin ramai yang tidak sedar sebenarnya banyak pembaziran berlaku.
Cuba anda bayangkanlah....anda menggunakan 7 atau 9 bekas/bakul/kotak untuk membuat 7 atau 9 hantaran yang mungkin dirasakan supaya hantaran anda kelihatan seragam atau sedondon mengikut tema yang telah anda pilih. Apa anda akan buat dengan ketujuh-tujuh bekas/bakul/kotak itu selepas majlis berlangsung. Memang sebelum majlis kita merasakan ia boleh digunakan kembali. Cuba kita fikirkan ....nak letak apa atau nak buat apa dengan bekas-bekas tu nanti. Saya yakin kalau setakat 2 atau 3 bekas bolehlah digunakan lagi buat hiasan meja ker...buat bakul gubahan bunga ker...atau buat tempat letak barang anda kat dapur ker!. Tapi....kalau dah ada 7 atau 9 benda yang sama depan mata baru anda mula terfikir...errr!! ( nak buat ape ye dengan bende-bende ni! ) Sudahnya jadilah ia sebagai khazanah istimewa anda dalam almari atau setor. Tak ke membazir namanya tu....nak jual balik ada ke orang nak beli?..Ada! di Mudah dot com kot ye!
Walaubagaimanapun saya ada cadangan! Berilah bekas-bekas tu sebagai souvenir buat pak long! , mak ngah!, mak mertua! atau kawan-kawan...boleh tak!.
Orang sekarang kebanyakkan menghias barang hantaran dan bukannya membuat “gubahan hantaran”. Sebenarnya banyak bezanya antara menggubah dan menghias barang hantaran.
‘Menggubah hantaran’ bermaksud menghasilkan sesuatu bahan menggunakan kreativiti untuk menjadikan sesuatu rekaan atau bentuk yang unik. Manakala ‘Menghias hantaran’ itu bermaksud menghias sesuatu bahan agar kelihatan cantik dan menarik.
Namun tidak dinafikan ada beberapa barang hantaran yang memang perlu dihias untuk lebih kelihatan istimewa dan menarik. Yang mana ianya memang tidak boleh digubah contohnya seperti barang kemas , alat solek , kasut atau beg tangan. Takkanlah kita nak gubah cincin jadi benda lain pulak! . Oleh sebab itulah untuk menjadikan cincin itu menjadi lebih istimewa perlulah kita menghias bekas cincin atau bekas hantaran itu menjadi menarik dan nampak cantik.
Perlu diingat juga biasanya orang terlebih-lebih pula menghias tempat cincin ini sampai tenggelam cincin tu dan tak tau duduk dimana.
Disini saya membuat perbandingan apa beza dan faedahnya menggubah barang hantaran dan menghias barang hantaran. Menggubah barang hantaran adalah lebih jimat sebenarnya dan hasilnya pasti lebih hebat dan istimewa. Cuba anda perhatikan gambar dibawah, mestipun barang yang digunakan itu taklah semahal mana namun ia kelihatan hebat dan istimewakan!.
Cuba lihat gambar dibawah pulak. Tak dinafikan ia nampak cantik tetapi untuk ia menjadi secantik itu banyak benda membazir sebenarnya.
Membuat gubahan hantaran adalah salah satu hasil seni budaya melayu yang seharusnya dikekalkan. Ia mampu menambah nilai sesuatu barang yang biasa menjadi luar biasa. Bagi saya barang yang digubah menghasilkan sesuatu yang lebih unik dan lebih dihargai.
Malah kita boleh menjadikannya sebagai hiasan (sculpture) selama mana kita mahu menyimpannya. Contohnya gambar kat bawah tu. “ Dah jemu pandang bukak jer guna buat tuala mandi....”
Seperti yang saya nyatakan sebelumnya, ada beberapa barang yang sesuai perlu di hias untuk tampil menarik namun kalau boleh elakkan dari berlebih-lebihan menghiasnya dan jangan sampai membazir...
Segala yang saya tuliskan adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya yang barangkali amat terbatas. Secara tidak langsung saya berharap penulisan ini dapat memberi manfaat kepada anda. Jauh sekali saya hendak mengkritik atau membeza-bezakan hasil seni orang lain atau mendabik dada pada kehebatan sendiri ( yang tak hebat manapun...ha!ha! ) tepuk dada tanyalah selera. Apa-apa pun boleh asal saja tak membazir. Justeru itu jika terdapat kesilapan saya pohonkan kemaafan.
Ditulis oleh : Kak Nin : Sentuhan Nin's